Wednesday, December 30, 2009

selamat hari khamis

(berusaha keras sedaya upaya untuk tidak memulakan tajuk entri dengan tajuk picisan seperti selamat tahun baru)

malam tahun baru.

ianya sungguh subjektif sekali.

ianya berbeza-beza mengikut perspektif pandangan seseorang individu. adakalanya ianya juga berkait rapat dengan cara hidup seseorang itu sendiri.

...

mungkin bagi golongan muda remaja, oh ya, golongan ini juga boleh difilterasi kepada beberapa versi yang lebih spesifik lagi, maksud aku di sini, golongan muda remaja urban (indie, shufflers atau rempit juga kini diiktiraf sebagai urban, ini satu anjakan paradigma kepada sosiologi permasyarakatan), mereka lebih cenderung untuk menyambut malam tahun baru dengan penuh kedamansaraan dan kemeriahan, parti dan sambutan yang hingar bingar dan penuh dengan hiruk-pikuk dan lintang-pukang, kuih-muih, cacat-cela, oh maaf. aku terasa teruja pula pabila menggunakan kata ganda. lama tidak menggunakannya dalam perbualan seharian. lagipun, inilah satu-satunya perkara yang menyebabkan bahasa ibunda aku nampak menarik.

ah. jauh pula tersasar. tapi kau tahu apa yang aku cuba sampaikan tentang cara golongan ini menyambut kedatangan tahun baru.

bagi golongan yang lebih dekat pada institusi kebudayaan dan keagamaan, mereka pun ada cara mereka yang kreatif dan tersendiri untuk meraikan hari istimewa ini. cara sambutan tahun baru mereka adalah lebih cenderung untuk menyelar dan memarahi golongan pertama yang aku jelaskan tadi. ada yang lebih kritis lagi, siap melabelkan golongan ini sebagai hedonisme, lupa budaya dan asal-usul, serta membazirkan wang ibu bapa atau wang pinjaman pelajaran kerajaan untuk semata-mata untuk membeli sekarton botol penyembur buih untuk disembur di atas kereta yang lalu-lalang, dan biasanya akan diakhiri dengan pergaduhan.

begitulah yang aku nampak.

warna-warni malam tahun baru.

...

aku dan malam tahun baru?

mudah. aku suka tahun baru atas sebab-sebab tertentu.

1. malam tahun baru memberi banyak pengajaran kepada masyarakat tentang masyarakat.

aku suka tempat di mana ramainya orang. sebab minda aku gemar berfungsi secara seoptimum mungkin di mana ramainya orang dan gelagat manusia yang berbeza-beza.

malam tahun baru, biasanya aku akan mula banyak mempelajari tentang perkara-perkara yang sebelum ini jarang aku ambil peduli.

pengajaran yang aku dapati tahun lepas adalah;
  • industri penjualan kamera besar DSLR semakin mendadak. dan peliknya, ramai dari golongan pembeli ini datangnya dari mereka yang berwajahkan tak-berduit-dan-suka-minta-duit-dari-ibubapa-kalau-tidak-beri-akan-lari-dari-rumah dan masih teramat muda untuk memilikinya.
  • sehubungan itu wujudnya sub-kultur baru iaitu munculnya fesyen seperti kau tidak akan kelihatan cool dan indie selagi tidak menyangkut DSLR di leher. antara sub-kultur lain adalah menangkap gambar sendiri di hadapan cermin sebelum dterbitkan di laman sosial maya.
  • KLCC bukan milik rakyat Malaysia. ianya kini milik warga Myanmar yang gemar memakai baju T hitam yang mempunyai gambar-gambar artis seperti Britney Spears atau Avril Lavigne untuk menampakkan tanda globalisasi dan mengikut arus perdana.
  • banyaknya golongan Kampung Dato' Keramat mula menampakkan taring mereka. golongan kecil, semuanya menjadi pasukan berbasikal di jalan raya, golongan remaja lelaki mula merempit di sana-sini dan golongan remaja wanita seperti biasa cuma menaikkan status diri dengan mendamansarakan diri di kelab percuma tempatan. golongan ibubapa mereka, seperti biasa, buat tidak tahu.
  • bukan sahaja telefon bimbit yang kini mempunyai variasi nada dering. kini hon-hon yang diproduksi dari motosikal empat lejang para Rempit juga sudah ada yang mampu memainkan lagu Evacuate The Dancefloor secara monotonik. cukup menjengkelkan.
2. memanipulasi kemudahan yang sedia ada untuk kepuasan malam tahun baru semaksimum boleh.

malam tahun baru biasanya boleh dikaitkan dengan perkara-perkara seperti kesesakan lalu-lintas, lautan keramaian manusia, dan macam-macam lagi perkara yang cukup memberi tekanan.

selalunya aku tengok televisyen sahaja. jimat tenaga dan wang. lagi seronok jika ternampak pergaduhan berlaku secara langsung ketika sambutan tahun baru ditayangkan (perkara ini memang wajib berlaku setiap kali perayaan tahun baru).

hendak tengok bunga api terhebat di KLCC? pindah di Kajang, jika kena tempat dan lokasi geografinya, kau boleh menyaksikannya terus dari tingkap rumah tanpa perlu menahan nafas dek karena aroma pelik pendatang asing yang selalunya menguasai arena kebanggaan negara itu.

dan kalau bosan (biasanya seronok hanya datang 32 saat selepas habis berhitungkira ke tahun baru sahaja) boleh terus tutup mata dan tutup lampu sahaja.

mudah. jimat duit Speed Trap atau Lampu Isyarat Berkamera.

3. boleh bermain perkataan (wordplay) dengan sungguh meyakinkan.

marilah (come on), bila lagi kau ingin kelihatan sungguh bergaya dan dingin (cool) dalam bermain kata-kata selain daripada hari terakhir dalam setiap tahun.

antara contoh yang boleh diambili sebagai situasi hari terakhir sebelum tahun baru.

Santiago Gonzales : hey kau, mahukah kau datang ke rumah aku hari ini?
Alvaro Ignacio : eh. tidak mengapalah. aku datang tahun depan sahajalah.

Santiago biasanya akan terkejut.

Santiago Gonzales : hey kau, mahukah kau tontoni filem terbaru Avatar itu di pawagam dalam versi bahasa Inggeris?
Roberta Pancinni : ah. malaslah. tahun depan sahajalah aku pergi.

Santiago biasanya akan terkejut lagi.

biasanya orang biasa akan mula perasan yang tahun depan itu hanyalah keesokan harinya karena hari ini adalah hari terakhir tahun itu.

namun untuk orang kurang biasa, mereka akan dapati yang Santiago merupakan seorang yang mudah terkejut dan lemah syahwat.

jika situasi diatas menyebabkan kau rasa pelik dan tertanya-tanya, apa yang hebatnya, maka aku terasa yang aku perlu dapatkan kehidupan (get a life) serta-merta.

cis.

sokong fakta aku sudah. kata setuju cepat.

4. peniduran dan pembangunan secara tidak menipu diri sendiri.

secara basisnya, aku tidak terlalu ke dalam (into) tahun baru sangat.

aku suka peniduran di malam tahun baru. sepanjang 14 malam tahun baru yang lepas-lepas, aku dapati aku tidur dengan sangat nyenyak dan mendalam. dan inilah datangnya bahagian yang terbaik (here comes the best part), apabila bangun tidur pada pagi tahun baru.

cis. bila kau bangun pagi, tidak ada langsung perbezaan pada hari itu berbanding hari-hari yang sebelumnya. sama sahaja. tidak ada apa pun yang menarik tentang tahun baru melainkan sedikit perubahan drastik dalam penukaran tarikh.

selebihnya, ianya tetap hari yang sama. jika kau seorang yang hina. maka kau akan terus jadi hina dan lemah jika kau tiada usaha untuk mengubah diri sendiri. tarikh pun boleh berubah dengan sendiri. buat malu sahaja jika kau tidak boleh.

maka, ianya hanya sekadar mainan perasaan semata-mata.

sia-sia sakit tekak belajar mengira mengundur malam semalam karena hari seterusnya tetap menjadikan diri kau seperti diri kau yang selalunya.

oleh itu, lakukan sesuatu.

...

kesimpulannya, moralnya di sini adalah, kau semua kena tahu yang kita semua boleh berubah walaupun sekadar pecahan saat (split second) sekalipun dan tanpa sebab-sebab tertentu.

tak perlu menuggu sekian-sekian tarikh untuk berubah. jika hari pertama tahun baru pun kau sudah skru diri kau sendiri (screw yourself), bayangkanlah setahun perlu kau tunggu untuk kau berubah kembali dan hari pertama esoknya lagi kau menyekrukan diri kau lagi.

membazir masa itu amalan syaitan masa.

...

walau apapun. selamat tahun baru kepada semua. dan sila dengar lagu tahun baru Auld Lang Syne versi Mairi Campbell & Dave Francis yang jauh lebih menarik, dan juga melankolik.

semoga dengan lagu sentuhan baru, semangat baru boleh ubah kau dari takuk yang lama.

dan, jumpa lagi tahun depan (esok).

currently into : Auld Lang Syne - Mairi Campbell & Dave Francis

flip flop flap flup

Sunday, December 27, 2009

i know better not to be friend with boys with girlfriends, oh i know better

kau sudahpun ada teman wanita.

dan kau sayang sungguh teman wanita kau.

dan kau ingin jadikannya teman hidup.

kau tak pedulikan semua wanita lain, walaupun wanita barat memang jelas seksi dan menggoda dan mampu memberikan kau zuriat anak yang berwajah kacukan dan pasti cerah masa depan (sebab norma stereotaip di negara asal, sudah tentu kau akan jadi pelakon asalkan muka kau ada wajah pan asia sedikit. bakat belakang kira, atau tak perlu langsung. nama keluarga barat yang dicipta dan datang dari mana-mana dikira sebagai bonus, sperti Hudson, Ziegler atau Evans).

dan kau lurus (straight), tidak gay.

kau tampal wajahnya di dinding blog, di dinding laman sosial maya, dan juga dinding rumah yang sebenar-benarnya.

namun, masih ada perempuan yang masih mencuba kau.

mereka tahu, tapi mereka mahu cuba juga. mahu puaskan hati ataupun mereka sememangnya bertanduk (horny) hidup sendirian.

mengapa mereka buat begini?

tidakkah mereka rasa apa yang mereka buat itu salah?

tidakkah mereka merasakan yang karma itu adalah seorang anak anjing betina (karma is a bitch) di mana lambat laun mereka akan terima juga apa yang mereka lakukan terhadap orang lain?

lagu ini memang perfek untuk mereka.

...

tema cinta tiga segi memang agak klise.

namun selalunya lagu bodoh menceritakan tentang hubungan lelaki bersama dua wanita memang bodoh dan tidak masuk akal. kenapa perlu bercinta kalau kau mahu curang dan bila sudah terperangkap bukan main hebat mengarang lagu sedih untuk membuat pilihan tanpa melukakan mana-mana perasaan.

cukup bodoh yang genius (genius-ly dumb, wah sukarnya beroksimoron dengan bahasa ibunda), dan selalunya lagu tema sebegini datang dari Indonesia. dan tetap rakyat kita suka.

sebaliknya lagu yang aku poskan ini menceritakan tentang perspektif perempuan kedua yang cuba masuk dalam hubungan yang sudahpun ada, dan mula tersedar dan belajar dari kesilapan.

kreatif. dan videonya, bijaksana.

daripada Meiko, Boys With Girlfriends.

video
(tidak ada apa yang lebih hebat dan seksi daripada mengenakan but tinggi dan dress ketika musim panas)

...

hormat pengakap tiga jari aku berikan kepada dua orang rakan aku yang telahpun membuat pilihan drastik dalam hidup mereka untuk hidup bersama dengan manusia yang mereka sayangi.

kau berdua memang hebat.

karena kita masih muda. dan hidup baru hendak bermula. dan aku yakin kita akan berjumpa dengan lebih ramai manusia di muka bumi ini, dengan pelbagai perangai yang sukar dijangka.

dan tidak boleh dinafikan, golongan yang aku jelaskan awal tadi.

kepada Hanafi bin Haafar dan Mohd Ridzuan bin Mad Rosli, selamat mengharungi kehidupan yang lebih matang, dan semoga berkekalan bersama.

dan tidak pernah lupa menghafal niat mandi wajib demi kesejahteraan bersama.

...

moralnya, kepada orang sebegini, ikut sahaja seperti kata lagu ini. sebelum apa-apa yang buruk terjadi, baik tak perlu terus berkawan dengan mereka yang sudah berpunya.

ada 6 billion manusia di muka bumi ini dan jika kau tak memilih sangat pasti kau pun akan jumpa apa yang kau mahu.

p/s : the moustache from hair part is so like you!

currently into : Boys With Girlfriends - Meiko

flip flop flap flup

Thursday, December 24, 2009

carta lagu buatan rumah 2009

(kadar dan peratusan kuantiti lagu yang dimainkan di hadapan Webcam sebelum teman wanita tidur telah meningkat secara drastik tahun ini)

carta tahunan kini kembali. mari menjerit oh yeah bersama-sama.

...

dan kali ini dengan senarai lagu pilihan yang lebih ganjil dan janggal dek karena kurangnya pengaruh deria daripada sumber media arus perdana. medium utama dahulunya seperti kotak televisyen dan radio jarangkali dipergunakan sebagai sumber dapatan lagu.

lagipun belum pernah lagi aku mendengar stesen radio Jerman sepanjang kehidupan aku yang panjang di sini. sebaliknya, kebanyakan lagu-lagu yang didengari tahun ini datangnya daripada carian dan kajian tersendiri, dengan kuasa papan kekunci, keaajaiban Internet serta YouTube yang tidak buat perangai (this video can't be played in your country or region due to copyright restriction). cis.

oleh itu, aku berikan 61 lagu terbaik tahun ini.

1. Hell - Tegan & Sara
2. Boys With Girlfriend - Meiko
3. Here Comes Your Man - Meaghan Smith
4. Silver Lining - Rilo Kiley
5. If A Song Could Get Me You - Marit Larsen
6. Maybe - Ingrid Michaelson
7. If Looks Could Kill - Camera Obscura
8. Ghost - Little Boots
9. Gold Lion - Yeah Yeah Yeahs
10. Life In Technicolor II - Coldplay
11. My Delirium - Ladyhawke
12. Such Great Heights - The Postal Service
13. Fools In Love - Inara George
14. A Thing For Me - Metronomy
15. Lisa Loeb - Stay
16. The Frug - Rilo Kiley
17. Witch - The Bird and The Bee
18. New In Town - Little Boots
19. Smoke Detector - Rilo Kiley
20. Zero - Yeah Yeah Yeahs
21. Sugar Town - Zooey Deschanel
22. Auld Lang Syne - Mairi Campbell & Dave Francis
23. Quelqu'un Ma' Dit - Carla Bruni
24. Pergi - Aizat
25. Better - Regina Spektor
26. Spiderwebs - No Doubt
27. I Gotta Feeling - The Black Eyed Peas
28. Plane Crash in C - Rilo Kiley
29. Fallin' For You - Colbie Caillat
30. Lloyd, I'm Ready to Be Heartbroken - Camera Obscura
31. Broken - Lifehouse
32. Kopf Oder Zahl - Jennifer Rostock
33. Lost - Katy Perry
34. Skyway Avenue - We The Kings
35. Love Story - Taylor Swift
36. Human - The Killers
37. Go To Sleep - The Eames Era
38. Fluorescent Adolescent - The Arctic Monkeys
39. Far Away - Ingrid Michaelson
40. Closer - Joshua Radin
41. Is It Love - Marit Larsen
42. Irgendwas Bleibt - Silbermond
43. That's What You Get - Paramore
44. Dangerous and Sweet - Lenka
45. I Heart You Online - Sophie Madeleine & Hannah Rockcliffe
46. Does He Love You - Rilo Kiley
47. With Arms Outstretched - Rilo Kiley
48. Du Willst Mir An die Wasche - Jennifer Rostock
49. Ben - Jackson 5
50. Under My Bed - Meiko
51. French Navy - Camera Obscura
52. Once Was Love - Ingrid Michaelson
53. August - RIlo Kiley
54. The Call - Regina Spektor
55. Heart Of The Matter - India Arie
56. Someday - Tegan & Sara
57. Adia - Sarah McLachlan
58. Ray Gun - The Bird and The Bee
59. Blue Christmas - Nicole Atkins
60. Dance With Somebody - Mando Diao
61. You Don't Know What Love Is - The White Stripes

daripada keseluruhan 61 lagu yang aku senaraikan ini, aku dapati hanya 13 lagu sahaja bervokalkan suara sang lelaki.

jangan tanya aku kenapa.

...

dan masa yang ditunggu-tunggu oleh aku sendiri kini bermula.

lagu terbaik sepanjang tahun ini.

kriteria lagu terbaik dinilai daripada keseronokan dan kecantikan lagu, jumlah senaraiputar yang banyak di dalam iTunes, dan lagu yang seringkali berkumandang secara tanpasuruh di dalam benak fikiran dan paling banyak mambangkitkan memori.

dijatuhkan kepada,

oh kita senaraikan dahulu 6 lagu terbaik tahun ini.

1. Maybe - Ingrid Michaelson
2. Here Comes Your Man - Meaghan Smith
3. Silver Lining - Rilo Kiley
4. If A Song Could Get Me You - Marit Larsen
5. If Looks Could Kill - Camera Obscura
6. Does He Love You - Rilo Kiley

...

dan pemenangnya adalah :

Silver Lining - Rilo Kiley

pap. pap. pap. bunyi bertepuk sebelah tangan. tahniah diucapkan.

lagu ini memang akan sentiasa bermain dalam memori aku. lagu tema tahun pertama kehidupan dijalani di negara barat. walaupun sebenarnya liriknya tiada kaitan dengan kehidupan aku pun.

...

sungguh indah bila sepuluh tahun lagi kau sudah mendengar lagu-lagu lain atau mungkin tidak langsung dek karena kedewasaan usia atau komitmen kehidupan, dan tiba-tiba kau terdengar putaran lagu-lagu ini semula.

ibarat terjumpa dan membeli album kompilasi Westlife ketika ternampak di kedai kaset dan menyorokkan di bawah katil supaya tidak dinampaki rakan dan sejurusnya dihentam tohmahan menggunung dek karena kecaman dan pandangan negatif masyarakat.

...

ada sesiapa ingin berkongsi lagu terbaik mereka tahun ini?

currently into : Boys With Girlfriend - Meiko

flip flop flap flup

Sunday, December 20, 2009

tak semua perkara di negara barat adalah hebat

lucu juga apabila ada yang mula menyatakan yang aku mula lupa daratan dan hanyut dengan lautan kebaratan.

hey marilah (come on), aku masih menulis dalam bahasa kebangsaan dalam blog ini. dan sikap patriotisma aku tidak pernah luntur kesan daripada Kem BIro Tatanegara yang sungguh befaedah dan tidak rasis itu. tiada ironi atau nilai sarkastik diniati di sini.

aku hanya seorang manusia yang gemar memerhati dan membanding, dan sejurus itu belajar daripada perbezaan yang aku alami untuk memperbaiki diri. buat apa kau datang berjuta batu semata-mata untuk melihat keburukan orang. jikalau begitu baik sahaja aku tinggal sahaja di negara asal dan menjadi pelajar universiti tipikal tempatan yang suka menghabiskan duit tabung pinjaman kerajaan dengan berlagak kaya dan cuba mendamansarakan diri, serta gemar mencuba kuiz-kuiz tidak membina di laman sosial maya.

baiklah. demi menyajikan selera peminat tempatan, dengan ini aku senaraikan beberapa perkara yang sebenarnya lebih baik di negara sendiri.


1. mudahnya mempergunakan ais dengan sebaiknya di negara asal.

sungguh melampau banyaknya ais kisar berada secara bersepah dengan rawaknya di merata-rata tempat, namun tiada siapapun mahu menjaja cendol di sini.

siapa ingin mengirim aku bekalan tin kacang merah, jagung dan kacang. oh sertakan sekali susu pekat jenama Ideal. aku mahu memulakan perniagaan di sini.

jimat modal untuk ais dan mesin pengisar. oh ya. dan juga tenaga yang seharusnya dijana untuk mengisar bongkah ais yang sungguh gasar.


2. mudahnya mendapatkan barangan ciplak dan palsu di negara asal.

oh kini aku mula merindui Plaza Lowyat dan kedai-kedai alat telekomunikasi yang bersepah secara sekata walaupun sedalam Kinabatangan sekalipun.

aku baru sahaja membaziri hampir RM100 semata-mata untuk membeli sebiji pengecas mudah alih untuk telefon bimbit aku.

adakalanya untuk benda-benda remeh sebegini kita lebih rela untuk membeli barangan palsu yang melampau murahnya harga dirinya dan berstatus pakai buang.

mana tidaknya, harga pengecas ini hampir sama sahaja dengan telefon yang aku gunai sekarang ini.

aku manusia jenis yang langsung tidak berejakulasi pada barangan dan gajet teknologi. aku boleh hidup dengan telefon bimbit lampu suluh sahaja.


3. mudahnya pergi bermain futsal bersama rakan, ketika di negara asal.

kau boleh berseluar pendek sahaja terus dari rumah (atau selepas melepasi lingkungan diameter keselamatan Pak Guard dan Mak Guard bagi pelajar UiTM) secara berlenggang dan bersahaja sepanjang perjalanan ke destinasi.

kau lihat sahajalah laluan aku ke tempat bersukan yang aku pergi hujung minggu lepas.


terasa bagaikan di dalam perjalanan untuk bermain futsal di puncak gunung Everest pula ya.

4. mudahnya bergambar liar di negara asal.

kau boleh senyum gembira ketika bergambar di mana-mana musim sekalipun di negara asal dengan berbagai gaya dan mimik muka yang kritis dan kreatif serta membina.

namun pabila musim sejuk datang menjelang, kau tak banyak pilihan.

sebagai contoh, aku tunjuki kau semua koleksi mimik wajah aku yang berbeza-beza.

ini gambar aku sedang senyum amat gembira.


ini pula muka letih kekecewaan menunggu tren terlalu lama.


ini pula gambar ketawa keseronokan di dalam bilik.


memang bervariasi ekspresi dan emosi kita ketika musim sejuk ini.


5. mudahnya bercinta di negara asal.

hidup sentiasa ditemani teman wanita yang sangat cantik tapi bila disentuh rasanya seperti empat segi komputer sahaja.

mahu pandu kereta dan bawa teman wanita ke mana-mana sahaja? cis. lama perlu aku tunggu untuk ini.

maka aku hanya mampu melukis.

...

jangan risau. ini pos bersiri maka kau semua akan lihat lagi perkara-perkara yang belum dibangkitkan di masa akan datang.

p/s : aku masih lagi seorang lelaki melayu normal yang cukup teruja dan terangsang hormon pabila menonton rancangan televisyen realiti Gadis Melayu yang kini pesertanya bukan main kurang nilai kemelayuan.

currently into : Under My Bed - Meiko

flip flop flap flup

Saturday, December 19, 2009

nasi sumber makanan utama orang melayu (volum 10)

bukan warna kulit sahaja yang berbeza.

lidah manusia dan reseptor rasa juga berlainan.

kalau ikan masam manis pun dirasakan mereka terlampau pedas, hasil kerja aku semalam menghasilkan tomyam lagilah mereka tidak berani mahu sentuh langsung.






cis.

sudah dua puluh tahun aku tak pernah ambil peduli dan tak terasa apa-apapun tentang hari krismas.

kecuali sekarang.

analogi paling tepat dengan situasi ini adalah bagaimana perasaannya menjadi seorang pemuda dari Bangladesh yang bekerja di kedai tekstil tempatan, tidak dapat pulang berhari raya sedangkan semua insan lain pulang ke kampung halaman dan bermain mercun lalu membakar lemang sedangkan belum lagi bersalaman meminta kemaafan orang tua bahkan lupa sembahyang raya pula.

aku faham kenapa mereka nampak ingin menangis bagaikan minta ditampar sahaja ketika aku nampak mereka bekerja di pagi raya.

...

2 minggu apartment bakal tak berpenghuni.

nasib baik ada teman wanita. meneman dari jauh.

currently into : How Can You Mend a Broken Heart - Al Green feat. Joss Stone

flip flop flap flup

Friday, December 18, 2009

sejuk di luar, panas di dalam

cara terbaik untuk hilangkan kesejukan melampau yang dahsyat adalah dengan melawat tempat-tempat yang panas.










tak sia-sia terpaksa telan salji secara sukarela sepanjang jalan.

currently into : All This Beauty - The Weepies

flip flop flap flup

Tuesday, December 15, 2009

siapa wanita idaman kau?

(cinta memang tak mengenal warna. dan juga tempat yang sesuai untuk melampiaskan rasa cinta)

pernahkah kau berfantasi sambil tersenyum sendirian tentang wanita yang ingin kau berumahtanggai di masa akan datang ketika sedang merenung cerek elektrik?

(jangan fikir lucah ya. aku bersikap serius ini.)

...

dahulunya, orang tidak kisah pun siapa yang ingin kau ambili sebagai teman hidup.

yang penting, dengan adanya kriteria sebegini, pasti mereka akan menjadi isteri pilihan.
  • bersopan-santun namun liar di ranjang.
  • menghormati suami.
  • pandai mengambil hati orang tua.
  • taat pada agama.
walaupun jawapan ini kedengarannya agak ketinggalan zaman, namun inilah klise yang asyik dipergunakan oleh para artis hiburan tempatan ketika ditemuramah jika ingin berkahwin - padahal masing-masing bukan main lagi suka berperangai liar dan suka mendedahkan lurah dada berjerawat atau mengenakan off-shoulder tops untuk menjelaskan lagi kesan suntikan BCG yang memang menjelikkan. tapi bab memilih calon hidup, bukan main manis ayat disusun. hipokrit.

itu kisah 26 tahun yang lepas.

zaman sekarang, mungkin banyak sudah berubah. alangkan komputer yang dahulunya sebesar-besar perpustakaan awam pun kini telah menjadi sekecil-kecil tapak tangan, atau terus jadi sebesar habuk sahaja (komputer yang dicuri insan tak bermoral).

pemikiran manusia sekarang memang kelainan.

mentaliti manusia tentang siapa yang akan dijadikan teman hidup mungkin kini lebih terarah kepada unsur materialistik dan status berbanding keutamaan hati budi dan perwatakan seseorang.

sebagai contoh, kini, bagi golongan lelaki melayu tipikal, ramai yang ingin beristerikan seorang pelakon, personaliti televisyen atau penyanyi (segera atau bukan segera) supaya mereka terasa lebih hebat dan bangga. mana tidaknya, wanita mereka mampu mengenakan set lengkap wanita urban melayu masakini iantu legging kendur, tas tangan LV dan sandal gladiator PVC dengan tanpa segan silunya ketika berjalan hanya di pasar malam tempatan. (dan ketika menghadiri prosedur penceraian di mahkamah syariah, mula memakai tudung secara sambil lewa dan berkaca mata hitam saiz lebar dan besar)

gila glamor nombor satu. mahu isteri terkenal sahaja. bila gambar liar atau video lucah kualiti 3gp simpanan remaja baru dirangsang hormonnya mula tersebar luas, mahu melenting dan marah-marah pula.

dan mula tuding jari kepada Photoshop. bagaimana rempit dan kuno seseorang manusia itupun, kalau belang mula terdedah, tahu pula sebut Photoshop. kalau terbongkar video kotor pun Photoshop. maju sungguh negara kita sehingga kini boleh mengedit video dengan Photoshop.

...

bagi aku, sejak kecil aku pernah juga ya terfikir tentang perkara sebegini dan akhirnya aku dapati yang aku ada rasa (taste) pelik rupanya dalam wanita yang aku isterikan.

1. wanita yang menceburi arena produksi dokumentari dan menerbitkannya sendiri. lebih kena jika dia lebih menjurus ke alam haiwan atau alam sekitar. aku pun bukannya minat langsung pada Animal Planet namun aku terasa wanita sebegini amat memetik hidup suis aku (turn me on).

2. wanita yang menjadi koresponden luar negara sesebuah syarikat berita untuk meliputi berita-berita penting luar negara seperti konflik negara atau politik antarabangsa. politik malaysia saling tak tumpah seperti menonton telenovela latin setiap petang. ada saja drama dan lakonan mantap.

wartawan hiburan memang aku buang siap-siap. aku pun sudah memang macam ini. berkahwin pula dengan wanita yang suka meyebarkan gosip picisan dan tak berfaedah kepada kemajuan negara. sah-sah masuk neraka di tingkat yang sama.

3. wanita yang menjadi penulis untuk kolum di suratkhabar atau majalah. lebih hebat lagi kalau terus menjadi sidang editorial. paling hebat sekali apabila majalah tersebut adalah FHM. ya, maaf aku bergurau nakal.

dan aku berasa berpuas hati jugalah karena teman wanita aku memang menceburi bidang-bidang sebegini.

tidaklah sebagai keutamaan, sebagai tujuan aku jatuh cinta pada dia, tetapi sebagai satu bonus tambahan.

maksud aku, sudahlah aku minat orangnya, buat pula kerja-kerja yang aku minat. memang semakin minatlah ibarat minat mengumpul setem, membaca dan berkenalan yang sering diisi di dalam ruangan hobi ketika kecil dahulu.

...

tapi sebenarnya UiTM tak perlu bersikap haiwan sangat.

bagilah teman wanita aku peluang.

kau tak habis-habis nak berpolitik, membela benteng terakhir maruah orang melayu dan membelai misai.

cuba tingkatkan prestasi pekerja dahulu.

nota kaki : E-zul, kalau kau pun tidak dapat sambung apa kau hendak, aku yakin memang sah mereka buat kerja main-main dan mengarut. bagi aku kau ibarat si bijak pandai Nur Amalina 17A1 namun versi Komunikasi Media. sama hebat. cuma kau tak pernah berlakon iklan pensel peperiksaan sahaja lagi.

currently into : Someday - Tegan & Sara

flip flop flap flup

Saturday, December 12, 2009

nasi sumber makanan utama orang melayu (volum 9)

video

pada suatu hari yang bosan, mereka selongkari laman sosial aku dan mereka menjumpai pautan yang membawa mereka ke blog ini.

mereka ternampak di mana aku telah menulis dan memaparkan gambar mereka di dalam pos terdahulu.

walaubagaimanapun, malangnya kesemuanya ditulis dalam bahasa ibunda di mana mereka sukar untuk memahami apa-apa.

perasaannya seperti, cuba mempelajari dan memahami hukum fizik momentum sudut intrinsik di laman Wikipedia berbahasa Macedonia. sungguh sukar.

namun perasaan ingin tahu yang sangat mendalam, memaksanya untuk mencuba sahaja membacanya!

...

jika kadar sukses perniagaan tinggi, terasa ingin berniaga sambilan menjaja nasi goreng di Amerika Latin pula ketika buat praktikal kelak.

currently into : Graveyard Girl - M83

flip flop flap flup

Thursday, December 10, 2009

kelemahan (volum 2)

(khas untuk pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Jerman. kepada sesiapa yang lain, kau semua juga dialu-alukan untuk meneruskan pembacaan untuk mendapat sedikit sebanyak tentang realiti kehidupan pelajar di sini)


manusia dan tempat.

bagaimanakah dua unsur ini boleh mengakibatkan permasalahan?

semuanya berlangsung melalui konversasi sebegini, antara seorang pelajar senior dan aku.

"hey, siapa nama kau?"

"Aidilf Nordin,"

"kau budak mana?"

"Biberach,"

"huh. kampung sangat tu," diiringi dengusan hina dan tawa kecil sinis tanda minta ditampar.

mari kita kaji mengapa wujudnya situasi ini.

...

masalah tipikal : kehebatan manusia dikira daripada kawasan.

sebelum itu, mari aku perkenalkan terlebih dahulu permasalahan di negara ini, bagi mereka yang kurang arif atau belum pernah ke sini.
  • Batu Penghadang Bahasa (language barrier) memang menjadi masalah utama di sini. diakui orang di sini memang kebanyakannya tidak berbahasa inggeris langsung, maka sememangnya agak sukar untuk bergaul dengan masyarakat (bagi aku, kebanyakan mereka sememangnya tidak mahu mencuba).
  • oleh itu, dek karena kecetekan dunia sosial dan pergaulan, maka secara dasarnya keseronokan kehidupan akan dinilai dari segi material dan lokasi sahaja. jika kau ada barang-barang teknologi yang mahal dan terbaru, kau hebat. selain itu, dari segi lokasi, jika tempat kau mampu memberikan alternatif lain untuk menghilangkan kebosanan, seperti bandar besar di mana kau mampu lakukan banyak perkara, kau hebat.
naif, bukan?

ini masalah kronik pelajar di sini. namun ingin aku secara kasarnya menjelaskan, BUKAN SEMUANYA.

bagi golongan ini, senang saja bagi mereka untuk menilai kehebatan potensi seseorang pelajar itu. kriteria mereka untuk menjadi tidak lemah adalah :
  • kau harus tinggal di bandar-bandar besar (yakni nama-nama kawasan di Jerman yang boleh dinampaki pada Google Earth tanpa perlu magnifikasi (zoom) secara mendalam, atau nama kawasan yang mudah dikenali melalui pasukan bolasepak).
  • tempat kau perlu ada gedung membeli-belah mega (sebagai contoh, Zara dan H&M untuk butik fesyen, atau MediaMarkt dan Saturn untuk barangan elektronik, dan juga IKEA untuk isian rumah).
  • kawasan kau perlu ada pengangkutan canggih seperti S-Bahn (tram elektrik yang bergerak di atas jalanraya) dan syarat lain, kau perlu menaiki pengangkutan awam ke institusi pengajian (melambangkan betapa besarnya kawasan tempat tinggal kau itu).
jika tempat tinggal kau tidak menepati keperluan di atas (jika kau menuntut di Jerman sahaja ya), maka kau akan dilabel sebagai Si Budak Kampung, pengalah (loser) atau si lemah yang tiada kehidupan.

sebaliknya, jika tempat kau tinggal menepati ciri-ciri di atas, maka kau akan dinilai sebegini rupa pula:
  • kehidupan kau diiktiraf sebagai menyeronokkan, tidak bosan dan sangat bergaya.
  • kau mungkin akan merasa keseronokan tak berasas dan bangga digelar Si Budak Bandar. bukan Si Budak Bandar sebarangan, ini Jerman, maka status kau dianggap lebih hebat.
  • mungkin kau antara budak paling hebat di dunia. agaknyalah.
...

dan, ya, aku akui tempat aku sedikit pun menepati ciri-ciri di atas.

kadangkala letih jari jemari untuk aku loroti (scroll down) tetikus supaya tempat tinggal aku boleh ditemui di peta maya di internet.

dan aku sedari ramai juga kawan-kawan senasib dengan aku yang juga mengalami situasi yang sama.

mengapa dan bagaimana untuk mengatasi golongan menjengkelkan ini?

mudah sahaja.

sebelum aku terangkan pendapat pada sudut pandangan aku, eloklah kita renungkan terlebih dahulu tentang sesuatu yang pernah aku terbaca dan terdengar suatu ketika dahulu.

"benih yang subur dan berguna, jika dicampakkan ke atas pulau kosong dan tandus, pasti akan membuahkan hasilnya juga."

jika kau dikategorikan sebagai manusia yang lemah berfikir, mari aku translasikan maksud tersirat di sebalik ungkapan tersebut.

"jika kau seorang manusia yang berguna, ke mana-mana kau pergi, walau di Timor Leste sekalipun, pasti kau akan memberikan hasil dan sumbangan yang berguna."

pandangan aku dan penyelesaian :
  • tidak semestinya jika kau tinggal di kampung, kau tidak boleh jadi pandai. jika kau ada wawasan dan semangat untuk berjaya, mana-mana kau hidup pun pasti kau akan berjaya jika kau inginkannya. lihat sahaja Tun Dr. Mahathir, asalnya dari Kedah sahaja. tapi kerana otaknyalah aku boleh terangkan kepada manusia barat ini yang aku tinggal di Malaysia. tanpa KLCC dan Litar Sepang jangan haraplah aku boleh terangkan dengan mudah apa itu Malaysia.
  • jangan terasa rendah diri apabila di kawasan-kawasan kurang terkenal di Jerman. hakikatnya, kampung atau bandar, ini negara maju. walau di ceruk kampung sekalipun, kau boleh nikmati sambungan Internet yang jauh lebih laju dari semaksimum mungkin yang Telekom Malaysia mampu berikan di tengah-tengah Damansara.
  • ingat ini, "Tempat kau tak melambangkan siapa diri kau, sebaliknya apa yang kau buat yang menunjukkan siapa kau sebenarnya". kadangkala gelihati juga melihatkan gelagat sesetengah golongan yang gemar memuatnaik gambar-gambar kehidupan bandar di laman interaktif maya untuk menunjukkan betapa hebatnya gaya hidup mereka, padahal sebenarnya ianya tak lebih dari sekadar perhimpunan sekaum (perkampungan Melayu atau Cina) yang bergambar dan bergaul sesama sendiri, dengan keseronokan yang saling tidak tumpah dengan sekadar bergembira di Malaysia sahaja. buat penat sahaja kerajaan mebazirkan wang rakyat untuk belajar jauh-jauh.
  • aku betul-betul rasa golongan yang memilih tempat melanjutkan pelajaran semata-mata berlandaskan tempat dan kebandaran kawasan adalah sangat bodoh sama sekali. adakah kau sanggup mempertaruhkan masadepan kau dengan hanya untuk keseronokan masa temporari, seperti berjalan hujung minggu di bandar, berbanding memilih berdasarkan status universiti di dalam rangking prestasi institusi pembelajaran. walau sekampung mana kawasan aku pun, universiti aku diiktiraf antara yang terbaik di negara ini. sila lihat pautan ini sebagai bukti, hanya jika kau fahami bahasa Jerman di http://www.uni-protokolle.de/nachrichten/id/136704/.
  • tempat kecil, maka boleh dikatakan ramai yang mampu mengenali kau. secara tidak langsung, kehadiran kau dirasai dan diperasani oleh masyarakat sekeliling. bukankah itu sudah menjadi platform yang baik untuk bergaul dengan masyarakat?
  • aku berasal dari Kuala Lumpur. aku sudah puas hidup bandar. jadi, aku bukan peduli sangat bandar-bandar dan kampung-kampung ini. remeh.
pendek kata, aku boleh akui yang aku puas dan nikmati tempat tinggal dan kehidupan aku di sini walaupun sekampung mana sekalipun tanggapan manusia kolot.

yang penting, aku guna sebolehnya peluang ke luar negara untuk mengenali, membanding serta meperbaiki apa yang kurang. dan mempromosikan negara mana yang mampu.

tengok, sudah adapun wanita dan jejaka Jerman yang ikut aku pulang ke Malaysia tempoh hari. sedikit sebanyak aku sudah membantu industri buahan tempatan seperti menyuruh mereka membeli durian.

apa sumbangan anda di bandar sana? :)

...

moral di sini, belajarlah rajin-rajin, dan majukan negara sendiri, supaya kita semua boleh sama-sama bangga jadi budak bandar di negara sendiri.

siapa tidak bangga jika Pengkalan Chepa pun ada sambungan internet laju?

currently into : Such Great Heights - The Postal Service

flip flop flap flup

Tuesday, December 8, 2009

i am the time traveler (volum 3)

you say "good night",
i say "good morning".

you say "sleep well and sweet dream",
i say "take care and have a nice day".

but when you say "i love u",
i say "i love u" too.

...

there's actually something unaffected with time difference.

it's love.

currently into : Such Great Heights - The Postal Service

flip flop flap flup

Friday, December 4, 2009

kau tidak boleh dituduh berzina selagi kau tidak masukkan itu ke dalam itu


kepada semua pembaca.

aku lebih rela menulis sedikit atau tidak langsung, daripada menulis perkara sampah yang langsung tiada nilai estetika dalam penulisan kosong yang tidak bermakna.

dan kebanyakan aktiviti harian di negara barat membataskan juga pemasaan aku masakini.

dan aku juga tidak mahu meminta maaf kepada pembaca seperti penulis blog picisan yang kononnya merasakan peminat mereka ramai dan sentiasa menantikan pos terbaru daripada penulis.

bagi aku, aku akan tulis, bila aku rasa aku ingin tulis.

blog adalah cetusan idea dan pendapat seseorang individu. jika dia tiada idea, maka dia tidak menulis. jika terus menulis juga, maka akan lahirlah sebiji blog sampah.

aku tak mahu blog ini menjadi blog sampah. lebih-lebih lagi yang tidak boleh dikitar semula.

harap maklum.

terasa ingin juga untuk memprivasikan blog aku apabila golongan kononnya alim mula menampilkan tohmahan liar dek karena terkejut melihat wanita barat memakan nasi di dalam bilik aku di hadapan sejadah.

perlukah?

...

orang melayu kebanyakannya memang tidak optimistik.

currently into : Wrong Impression - Natalie Imbruglia

flip flop flap flup

Tuesday, December 1, 2009

salji tidak boleh terus dimakan (volum 4)


secara rasminya, salji turun mencurah-curah ibarat pembuangan air kecil di waktu pagi semasa ianya masih keras.

oleh itu, kini aku boleh katakannya.

secara rasminya, musim hidup dalam peti sejuk gergasi kini bermula.

secara rasminya, aku akan jadi malas dan mula kurang aktif untuk ke kelas atas alasan cuaca.

...

oh, sebelum terlupa.

secara rasminya juga, basikal percuma yang aku perolehi secara percuma dari wanita Amerika tahun lepas sudah dicuri secara percuma.

cis. kenapa aku tidak sedih.

barang percuma memang tak berperasaan. lebih-lebih lagi yang buruk dan tidak boleh dimakan.

currently into : The Heart Of The Matter - India Arie

flip flop flap flup